
"PAK LAH" TOKOH MAAL HIJRAH UUM
PRUUM ONLINE, 13 FEB: Prof Madya Dr Abdullah Abdul Ghani atau lebih dikenali dengan panggilan 'Pak Lah' di kalangan rakan-rakan dan warga kampus dipilih sebagai tokoh Maal Hijrah 1428H peringkat universiti sempena sambutan Maal Hijrah di Kampus itu, semalam.
Abdullah, 51, adalah Ketua Jabatan Pentadbiran Muamalat, Fakulti Pengurusan Perniagaan Universiti Utara Malaysia (UUM).
Beliau banyak memberi sumbangan besar dalam bidang pendidikan di UUM dan khidmat masyarakat kepada warga universiti serta masyarakat setempat dan menerima anugerah tersebut daripada Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM, Prof Madya Datuk Dr Ahmad Faiz Hamid.
Anak kelahiran Kampung Belukar Hutan Kampong, Alor Star itu memulakan kerjaya sebagai Eksekutif Pelatih di Bank Pertanian Malaysia sebelum beralih sebagai tenaga pengajar di UUM, dan merupakan antara nadi utama yang mendokong perkembangan universiti tersebut.
Ketika ditemui, Abdullah berkata, beliau tidak menyangka akan menerima anugerah ini tetapi berterima kasih kepada panel yang memilih. Pada saya penghargaan ini menjadi pendorong untuk saya meneruskan usaha selama ini ke arah yang lebih baik.
"Saya juga berharap rakan-rakan di UUM dapat memberikan bimbingan serta nasihat supaya kita bersama-sama mencapai kemajuan dalam apa jua perkara yang dilakukan," ujar Dr Abdullah.
Anugerah tokoh Maal Hijrah UUM merupakan anugerah yang julung kali diperkenalkan oleh universiti tersebut.
Abdullah yang menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari UUM pada 2000 juga menyumbangkan khidmat beliau dalam kegiatan bukan akademik di dalam kampus antaranya menjadi fellow asrama, pengetua kolej, Timbalan Presiden Persatuan Staf Akademik Universiti (PERSATU) dan ahli jawatankuasa persatuan-persatuan lain.
Bekas penuntut Maktab Mahmud Alor Star itu juga bergiat aktif dalam aktiviti luar kampus dan merupakan Imam dan Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Kariah Masjid Hutan Kampong, bendahari Masjid Hutan Kampong dan Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) cawangan Changlon.
Sehingga kini beliau telah mengendalikan 18 kursus dan bengkel, 23 sesi ceramah, penyelidikan (6), kertas seminar (3), penulisan dan penerbitan (8), menjadi penyelia desertasi dan tesis peringkat PhD, membentang kertas kerja, kuliah melalui radio dan sidang video, panel forum dan menyampaikan khutbah Jumaat.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Madya Datuk Dr Ahmad Faiz dalam ucapnnya berkata, program yang disambut hari ini memberi makna besar dalam diri setiap umat Islam kerana ia merupakan sambutan tahun baru bagi kalendar Islam.
Datuk Ahmad Faiz menekankan tentang konsep tiga 'A' yang menjamin kejayaan hidup seseorang individu iaitu Agama, Akhlak dan Akademik.
Menurutnya, agama adalah aspek penting dalam kehidupan dan jadikanlah ia sebagai pegangan hidup bagi memastikan kita tidak tersasar daripada landasan sebagai seorang muslim.
"Kehidupan akhirat kita bergantung kepada perkara-perkara baik dan buruk yang dilakukan semasa hidup di dunia," katanya.
Beliau turut menyatakan tentang kepentingan akhlak, tidak berguna seseorang itu menjadi Islam jika mempunyai kelakuan yang buruk sehingga merosakkan diri dan orang lain.
"Mungkin dalam tempoh 40 tahun kemudian generasi kita akan menjadi bangsa yang tidak dihormati kerana tidak mempunyai akhlak yang baik untuk diteladani.
"Akademik juga merupakan perkara penting dalam hidup sebagai seorang muslim kerana kalau mempunyai ilmu dan beriman Allah akan mengangkat kita pada kedudukan yang lebih baik," kata Datuk Faiz.
Tambah beliau, tanamlah kepercayaan yang tinggi terhadap agama dan peganglah konsep tersebut dalam kehidupan seharian kerana kemajuan pasti sentiasa berada di depan kita.
Sempena sambutan itu juga 15 kumpulan nasyid menyertai pertandingan bagi mewakili jabatan masing-masing.
Pusat tanggungjawab yang mengambil bahagian ialah Jabatan Hal Ehwal Akademik; Pendaftar; Bendahari; Keselamatan; Penyelidikan dan Inovasi; Perpustakaan Sultanah Bahiyah; Fakulti Komunikasi dan Bahasa Moden; Kewangan dan Perbankan; Teknologi Maklumat; Pengajian Antarabangsa dan Pusat Kesihatan Universiti.
Hadir sama Pendaftar, Dato' Latifah Hassan dan pegawai-pegawai kanan universiti.
DARIPADA :
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
JABATAN CANSELORI, UUM
Tel : 04-9283007,3012,3066,4078
Faks : 04-9283016
E-mel : ukkuum@uum.edu.my
No comments:
Post a Comment