
PETIKAN DARI BLOG MUHAMMAD ZAKIR.
Muhammad Zakir -dari Hutan Kampung, Alor Setar, Kedah ke Universiti Malaya..
Assalamualaikumwarohmatullahiwabarokatuh,
Salam ketemu lagi, pada dasarnya penulisan ini lebih berkisar dengan diri saya sendiri. Saya sebenarnya kurang bernasib baik kerana hanya berpeluang melanjutkan pengajian peringkat Ijazah di usia awal 30an.
Saya menulis kisah ini disebabkan timbulnya rasa penyesalan, berkaitan kegagalan di dalam kehidupan dalam mencapai taraf kehidupan keilmuan yang tinggi di dalam minda sewaktu berusia 20an. Saya mengkaji beberapa persoalan, namun hakikat yang tidak dapat dielakkan, adalah berkaitan dengan ketidaksedaran keilmuan dan rasa tanggungjawab dalam mempertingkatkan keilmuan.
Saya merasa amat bertuah, ini disebabkan pada usia 20an tahun di Alor Setar, Kedah, saya hanyalah seorang pesawah dan hanya mengetahui berkaitan aktiviti menanam padi sahaja, memiliki sebuah basikal dan bertemankan sebuah radio, malahan saya tidak dapat melupakan zaman mengembala kerbau pada tahun 1979 [ berumur 7 tahun].
Saya berpeluang melanjutkan pengajian pada usia 30an, di Pusat Pengajian Jarak Jauh, USM dengan melakukan pengkhususan bidang Sejarah, agak sukar bagi saya dan pemarkahannya agak tegas, malahan sehingga sekarang, Puan Azmah [ Penyelaras Bidang Sejarah] adalah salah seorang yang agak tegas dalam memberikan pemarkahan. Walaupun begitu, saya bertuah kerana dapat berada di bawah beberapa orang pensyarah kanan bidang Sejarah yang mengkhusus dalam bidang Sejarah Malaysia [ tradisional, moden].
Setelah saya menamatkan pengajian di PJJ, USM, saya dapat menilai beberapa perkara yang perlu ada bagi seseorang penyelidik dalam bidang Sejarah atau politik antarabangsa; jawapannya adalah kemahiran dalam pelbagai bahasa dunia, contohnya; Bahasa Inggeris, Bahasa Arab, Bahasa Ibrani, Bahasa Mandarin dan lain-lain bahasa asing.
Keperluan dalam memahami Bahasa Inggeris atau bahasa asing adalah penting, sebagai contoh sekiranya kita ingin melakukan kajian mengenai tamadun China, maka sewajarnyalah kita menguasai bahasa Mandarin. Keperluan penguasaan bahasa asing adalah penting, terutamanya menyentuh mengenai mencari bahan rujukan, serta melakukan penyelidikan. Buku-buku dan kajian terdahulu, kebanyakan berbahasa Inggeris atau bahasa ibunda masing-masing, sekiranya seseorang penyelidik memperkasakan bidang linguistik, insyaAllah, saya percaya beliau akan dapat mengkaji dengan lebih mendalam dan lebih ‘berkuasa’.
Berbalik dengan kisah hidup lampau saya, keinginan untuk berubah dengan ilmu adalah daya kekuatan, bayangkan dari seorang pemuda kampung yang tidak mampu memahami atau membaca akhbar aliran Inggeris, seperti ‘The Star’ pada usia 20- 28 tahun, perlahan-lahan saya cuba untuk bertutur dan menulis dalam bahasa ‘lingua-franca’ ini. Alhamdulillah, manusia yang sanggup berubah akan ditolong oleh Tuhan [ Allah S.W.T].
Saya menyeru agar setiap kanak-kanak, diberikan pengajian yang terbaik, ibu bapa tidak boleh bergantung dengan sekolah dan sistem pembelajaran asas sahaja, ibu bapa di zaman tamadun, perlulah gigih berusaha agar anak-anak mereka berilmu dan mampu menguasai dunia.
Oleh itu, keazaman dan iltizam yang gagah adalah diperlukan untuk mencari kaedah terbaik bagi memperkasakan tingkat keilmuan di dalam hati sanubari setiap insan.
Sebenarnya, saya mempercayai bahawa setiap manusia adalah bijak, namun akibat terhadnya; peluang, bahasa, pengetahuan, kerajinan dan kegigihan; bakal membawa kejayaan.
Hindarkan dari mencemuh seseorang manusia lain, berilah peransang; agar setiap warga Malaysia, tidak mengira bangsa atau etnik berjaya di dalam kehidupan mereka yang cemerlang.
Terima kasih.
No comments:
Post a Comment